Bercakap Dengan Jin - sbdj

Sunday, January 23, 2011

10. Mencari Harta Karun

10. Mencari Harta Karun

Mahu atau tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.

“Berapa lama kita di sana tok,” tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih. Memang itu perangai datuk. Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dalu. Dia mahu mempastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.

“Boleh jadi sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan.”

“Keadaan mana tok ?”

“Kalau banyak burung yang kita dapat lamalah kita di sana.”

“Bila kita nak bertolak.”

“Aku fikir pagi esok saya.”

Datuk bangun. Dia turun ke tanah. Saya kira datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang rumah melihat ayam dalam kandang. Saya barang yang mahu dibawa sudah saya kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam kawasan rumah datuk. Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr. Brown pengurus ladang getah, Sungai Bruas.

Mr. Brown terus mendapatkan datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang selalu menemui datuk, kalau dia mengalami silap urat. Kalau dia diserang penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari datuk. Kalau tidak baik baru dia menemui doktor. Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya. Dia suruh saya jadi kerani. Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari itu, tidak saya perhiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan menta datuk mengurutnya. Kalau tida masakan dia datang, fikir saya. Lama juga Mr.Brown bercakap dengan datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup faseh bercakap Melayu. Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia lama duduk di Plastine dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.

Saya terus baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama datuk. Saya bangun dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.

“Di sini, harta itu ada di sini,’ ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam peta dengan pensil merah. Datuk termenung panjang.

“Kawasan itu jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan,” tingkah datuk sambil memeluk lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya beberapa kali.

“Minggu dulu mandor saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan, macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandor saya tidak berani ambil,” jelas Mr.Brown lagi,

“Saya dah minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk meletupkan gua.”

Datuk terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu, ialah kawasan kerajaan Melayu Bruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar. Satu ketika dalu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah batu dan kawasan permakamam di raja. Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya mencari kawasan tersebut. Kawasan itu tidak dijumpai lagi. Malah orang pergi itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya. Menurut cerita arwah Haji Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran raja-raja dahulu tertanam di situ. Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang selalu terjumpa kawasan tersebut. Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat tidak akan terjumpa.

“Saya sudah lama menyiasatnya, sejak saya datang.” Mr.Brown bersuara sambil melihat peta. Datuk terus tersenyum.

“Di kawasan ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara,” Mr.Brown tanda peta dengan pensil merah.

“Dari sini, kita boleh pergi ke Padang Serai, dari situ kita pergi ke Segari. Tidak jauh dari situ ada kawasan kerajaan Manjong,” Mr.Broin berhenti menandakan peta dengan pensil merah. Saya gigit bibir. Datuk kelihatan tenang. Wajah Mr.Brown nampak cemas. Mata merenung ke peta kembali. Kemudian Mr.Brown bercerita tentang kerajaan Ganga Negara. Dia tahu semua kawasan dan wilayah kekuasaan kerajaan Gangga Negara.

“Dari mana awak tahu ?” Soal datuk.

“Di London, di sana semua fasal sejarah Malaya ada di muzium, saya datang ni bukan mahu jadi manager, tapi saya mahu siasat negeri awak.”

“Kalau dapat awak mahu buat apa ?”

“Barang-barangnya saya bawa ke London, kemudian saya tulis buku sejarah negeri awak,” ujar Mr.Brown dengan bangga. Kerana terlalu pandai Mr.Brown memujuk. Datuk mahu membantunya mencari kesan sejarah lama itu. Mr.Brown berjanji dengan datuk kalau mereka berjumpa dengan barang-barang purba. Dia tidak akan mengambilnya. Dia sekadar mahu melihat dan menyiasat serta mengambil gambar. Mr.Brown juga akan membawa barang makanan yang secukupnya selama penyiasatan itu diadakan. Selain daripada itu Mr.Brown akan membawa tiga orang pekerjanya untuk turut sama dalam rombongan itu. Dalam tilikan datuk, rombongannya akan bertemu dengan kawasan yang dihajati oleh Mr.Brown itu.

Akhirnya, rombongan itu berangkat ke tempat yang dituju. Saya cukup gembira, kerana saya tidak dikecualikan dari rombongan tersebut. Rombongan kami bertolak dari kawasan rumah datuk, kira-kira pukul enam pagi dengan sebuah jeep menuju ke sawasan pecah batu di Seputih. Dari situ berjalan kaki menuju ke tepi Sungai Bruas. Kami menaiki sebuah sampan kecil yang berbumbung. Sebelum itu, Mr.Brown dan datuk sudahpun pergi ke Kampung Kota melihat tulisan di batu nisan lama yang terdapat di situ. Menurut Mr.Brown, mencari kawasan lama itu lebih baik melalui sungai daripada mengikuti jalan darat. Ada dua sebab, kenapa Mr.Brown memilih ikut sungai, pertama mudah dan kedua orang-orang dahulu selalu membuka kawasan di tepi sungai.

Lama juga bersampan di Sungai Bruas. Akhirnya Mr.Brown menyuruh orang yang mendayung sampan rapat ke tepi. Dari situ mendaki satu kawasan bukit kecil. Kami berkhemah di situ. Dua hari kami di situ, masuk hari yang ketiga. Salah seorang daripada rombongan kami jatuh sakit. Dia menjerit tidak tentu arah. Bagaikan kemasukan hantu. Puas datuk mengubatnya. Sakitnya tidak juga mahu hilang. Matanya merah. Lidahnya sentiasa keluar. Mr.Brown mengambil keputusan untuk menghantar pulang dua orang pekerjanya itu. Sepeninggalan Mr.Brown, datuk dan saya hanya duduk di dalam khemah saja.

Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Macam-macam suara yang saya dengan. Datuk duduk di kanan saya, sekali-sekala, saya dengar datuk bercakap. Dengan siapa dia bercakap, saya tidak pasti. Tetapi suara orang yang dilawannya bercakap jelas kedengaran. Orang itu menyuruh datuk berpindah ke tempat lain, kerana kawasan yang diduduki sekarang kawasan larangan. Datuk berjanji dengan orang itu akan pindah pada pagi esok. Lepas itu, saya lihat datuk tidur dengan lena hingga ke pagi. Lebih kurang pukul sepuluh pagi Mr.Brown pun tiba. Dia membuka peta lagi. Mr.Brown sukat peta dengan kayu pembaris.

“Kita masuk ke dalam lagi,” katanya. Tanpa membantah datuk dan saya mengikut perintahnya. Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya di kawasan tersebut.
“Kita berada di kawasannya,” kata Mr.Brown pada datuk sambil membaca buku tebal yang dibawanya. Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. Matahari pun terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di situ. Airnya cukup jernih. Lepas sembahyang datuk dan Mr.Brown terus masak. Lepas makan Mr.Brown baca buku. Lampu gaslin yang terpasang dalam khemah cukup terang. Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. Saya mengantuk betul. Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang cantiknya tidak dapat saya lukiskan. Dia bagaikan gadis bangsawan duduk berjuntai kaki di balairong seri sambil membawa lagu-lagu Hindu dengan irama yang merdu dan halus. Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.

“Siapa namamu,” tanya saya. Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di rerumput yang menghijau di depan istana.

“Ke mana ?” soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon beringin rendang.

“Siapa namamu ?” ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.

“Dayang pada Tuan Puteri Zarid Gangga,” dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang. Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara. Sebaik saja sampai di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun. Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketul batu dan tanah yang dikutipnya. Datuk masih lagi mengadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan pada mereka apa yang saya alami dalam masa tidur tadi.

Pagi esoknya, kami mencapai kata sepakat untuk mengali tanah di bawah pohon beringin. Lima jam kami mengali tanah. Akhirnya kami menemukan sebuah peti besi yang dibuat dari logam kekuningan. Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana dalampeti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning. Malam pun tiba. Fatuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.

“Tengkorak ni tak ada apa-apa,” kata datuk pada Mr.Brown. Mr.Brown anggukkan kepala. Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam kelambu masing-masing. Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada tangan yang mengoyangkan bahu kanan saya. Yang pertama kali saya dengar, suara wanita menyanyi sayup-sayup di selang-seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang. Cuma yang kedengaran bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara burung tukang dan jampok bersahut-sahutan. Terfikir juga oleh saya untuk membangunkan Mr.Brown dan datuk. Bila saya kaji dalam-dalam, mereka tidak perlu dibangunkan.

Saya jatuhkan kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu. Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas. Saya membuat keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. Malam memang tidak berbintang, tetepi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang. Tiba-tiba saja hati saya membuat keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin. Saya masuk ke dalam belukar di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya suara wanita itu. Badan saya mengeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.

Saya membuat keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi tertumpu ke arah pohon beringin. Saya saksikan sebuah kepala bergolek-golek atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam sekejap mata wanita itu hilang. Kemudian berdiri betul di depan saya, Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mempu keluar dari kerongkong. Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon beringin hilir mudek di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui dalam mimpi saya yang lalu.

Kemudian wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan datuk. Lebih kurang lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke kolam tempat datuk mengambil air sembahyang. Bila wanita itu berdiri di depan kolam, dia terus menjerit. Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah, berguling-guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera ghaib. Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar suara jeritan gajah. Saya terdengar bunyi pedang belaga. Semuanya tidak kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami. Bila semuanya tidak kedengaran lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju dan kain. Lelaki hitam membalutkan tubuh wanita itu dengan jubah yang dipakainya. Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.

Sementara itu fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa lemah. Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.

“Kenapa begini,” tanya datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah. Saya mahu menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. Datuk kembali ke khemah mengambil kain hitam. Barulah saya boleh bergerak dan bersuara. Datuk memimpin saya ke khemah. Dia merunggut dan marahkan saya, kerana saya keluar tidak memberitahunya. Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning, hilang entah ke mana.

Datuk mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam. Mr.Brown tidak setuju , dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan, kemudian perut kolam itu digali. Datuk terima cadangan itu, kerana mengerinkan air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa jentera untuk mengeringkan air. Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja untuk mengeringkan kolam pun bermula. Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering. Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi. Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.

Datuk menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam zaman pemerintah Gangga Negara. Bila air kolam sudah kering betul. Datuk, Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situpun kami gali. Barang-barang yang kami temukan di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown. Dengan perintah datuk tulang-tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu lubang dekat pokok meranti. Pada sebelah malamnya, datuk membuat keputusan yang nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan itu.

“Ini merbahaya,” bantah Mr.Brown.

“Kalau awak mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya.” Suara datuk meninggi. Matanya mula merah.

“Ok saya ikut.”

“Begitulah.” Datuk pun ketawa berdekah-dekah.

Sepanjang malam di tepi kolam itu, datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, datuk bagaikan hulubalang kerajaan Melayu Melaka. Datuk terus membaca mentera di depan asap kemenyan. Sekali-sekala dia membuka silat. Tiba-tiba datuk diam. Matanya pejam. Badannya tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara. Datuk rebah di situ. Saya segera mahu menghampirinya.

“Jangan, dia menerima pertunjuk dari orang lain,” kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya. Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara burung hantu dan salakkan anjing serigala kedengaran sayup-sayup. Datuk melompat dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata: Seorang pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh hormat. Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. Dia telah menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran, badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin. Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana barang-barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian ditanam.”

“Di mana tempatnya tok, ” tanya saya tidak sabar.

“Sabar, esok saja aku ceritakan.” Suara datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke khemah semula.

Pagi esoknya, datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Bruas yang penuh dengan buaya liar ke sampai ke Tanjung Ara - dekat Pangkalan Bharu. Dari situ kami mendarat di satu kawasan berbukit. Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu penuh dengan batu-batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.

“Puteri itu telah membawa aku ke mari, ” kata datuk, “menurutnya Raja Gangga Negara, Shah Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran.” Datuk pun berhenti bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah-dekah. Barang yang dicari dan dihajati sudah ada didepan matanya.

Kawasan itu segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga dipuncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh datuk dari dijamah oleh sesiapapun. Kata datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja Gangga Negara.

Mr.Brown pun menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta-harta itu tertanam lebih kurang sepuluh meter ke dalam bumi. Bila dinamit yang dipasang itu meletup, boleh menolong melongsurkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.

Tepat pukul empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu-batu berterbangan, pokok-pokok habis tercabut. Tanah tinggi disitu kelihatan rata. Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus-putus ketawa. Bila ketawanya berhenti, Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar beratus-ratus ekor ular sebesar peha menyerang kami. Saya, datuk dan Mr.Brown lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua barang-barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown berdarah. Seluarnya habis koyak.

Kami menyusul tepi sungai Bruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudahpun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba-tiba tidak boleh bergerak. Air sungai melimpah dengan tiba-tiba. Tebingnya yang tinggi ditenggelami air. Datuk nampak cemas. Kemudian dia senyum dan berkata : “Kalau kami salah ampunkanlah.”

Sehabis sahaja datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki yang bertubuh besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak basah, mestipun ia baru timbul dari dasar sungai. Wajahnya kelihatan bengis. Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus berhadapan dengan orang itu.

“Awak mesti tahu, tidak seorangpun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu milik kami. Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang yang awak letupkan itu awak tangkap, ular-ular itu akan bertukar menjadi harta karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhinati kami,” lelaki bertubuh besar bersuara.

Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang.
Reade more >>

9. Panjat Bilik Anak Dara

9. Panjat Bilik Anak Dara

Sepanjang malam itu, datuk tidak tidur. Dia duduk termenung di anjung rumah hingga matahari pagi terbit di kaki langit. Cuma ada satu saja yang datuk rasa agak ganjil, setelah menemui manusia berkepala anjing dia tidak mendengar suara perempun menjerit atau menerima pengaduan dari anak buahnya sama ada mereka bertemu atau memburu manusia berkepala anjing.

“Agaknya, dia sudah lari dari sini,” beritahu datuk pada nenek ketika sarapan pagi. Nenek tidak menjawab. Dia cuma merenung muka saya dengan wajah yang sangsi.

“Lari atau menyiapkan diri,” terungkap dari mulut nenek. Datuk tersenyum. Saya terus menghirup air kopi.

“Biasanya perkara yang jahat tidak lama berkuasa,” suara datuk lembut.

“Maksud awak ?”

“Yang jahat tidak diperkenankan oleh Tuhan,” sahut datuk dan terus bangun.

Datuk menyuruh saya pergi ke Paya Besar untuk melihat anak-anak getah yang baru ditanam semula. Dia juga menyuruh saya menebang pokok-pokok pisang di celah anak-anak getah.

“Tebang yang mana kau agak boleh merosakkan anak getah kita,” pesan datuk. Saya mengangguk. Ke Paya Besarlah saya pagi itu dengan basikal tua membawa sebilah parang. Lebih kurang pukul tiga petang saya kembali ke rumah. Terkejut juga saya, bila melihat ada beberapa orang duduk di anjung rumah berbincang dengan datuk. Saya kira mereka membincangkan peraturan berjaga malam. Saya terus ke sungai untuk mandi. Lepas itu makan dan membaca suratkhabar jawi, memang datuk tidak pernah tinggal membeli akhbar sejak dari zaman muda lagi.

Tanpa di duga datuk memanggil saya. Cepat-cepat saya campakkan surat akhbar dan meluru padanya.

“Ada apa tok ?”

“Malam ini, kau turut sama berjaga.”

“Sayaaa…..” suara saya mati di situ. Kawan-kawan datuk mengetawakan saya.

“Kau takut ?” tanya datuk sesudah suara ketawa kawan-kawannya mati. Semua biji mata kawan-kawan datuk tertumpu ke muka saya.

“Tidak,” jawab saya tegas. Kawan-kawan datuk berpandangan sama sendiri. Saya ditugaskan berjaga dekat surau hingga ke rumah Haji Shafie, kawan saya yang disyurkan oleh datuk ialah Bidin yang agak tiga suku sedikit perangainya.

Sementara menanti malam tiba, saya berpeluang menyoal datuk tentang kehilangan Imam Hamid. Tidak banyak yang mahu diceritakan oleh datuk tentang Imam Hamid. Datuk cuma mengatakan Imam Hamid meninggalkan kampung kerana urusan peribadi. Menurut datuk manusia berkepala anjing ini memang sudah lama wujudnya. Tapi dapat diatasi oleh orang yang cukup handal dalam ilmu kebatinan.

“Tapi orang yang macam tu dak ada lagi,” keluh datuk. Di mukanya terbayang rasa kecewa dan kesal yang amat sangat. Dia bimbang kalau manusia kepala anjing itu tidak dapat dihancurkan, bukan satu perkara yang mustahil ada gadis yang menjadi korbannya.

“Macam mana orang tu boleh jadi begitu tok ?” soal saya. Datuk renung muka saya tepat-tepat. Dia mengaru pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya merenung kosong ke depan.

“Kadang berpunca dari keturunan, ” ujar datuk.

“Caranya.”

“Boleh jadi masa dulu ada datuk neneknya mengamalkan ilmu itu untuk mempertahankan diri, bukan untuk tujun jahat, maklumlah orang zaman duu banyak mengembara dalam hutan terpaksa banyak menggunakan berbagai ilmu,” datuk berhenti bercakap. Dia telan air lior dua tiga kali. Matanya masih juga merenung ke depan.

“Biasanya yang datang dari keturunan tu,” jadi bila dia terdesak dan tak sedarkan diri, umpamanya dipukul oleh orang dengan tidak tentu fasal baru dia jadi, jenis ni tidak merbahaya, boleh dibuang dengan ancak dan rakit ke dalam tujuh kuala sungai. Dan orang itu akan sempurna terus,” saya mendengar cakap datuk dengan penuh teliti.

“Di kampung kita ni macam mana ?” soal saya.

“Orang ini menuntut, tapi silap bawa, fasal tu dia mengganas.”

“Silap macam mana ?”

“Tujuan dai menuntut untuk diri sendiri, tapi masa dia menuntut tu, boleh jadi dia menjalani pertapaan, masa itu dia dipengaruhi syaitan untuk membawa kerja yang tidak baik.”

“Jadi.”

Mendengar cakap saya itu, datuk jadi tergamam. Bila rasa tergamamnya hilang. Dia tersenyum dan terus menepuk bahu saya dua tiga kali.

“Dia terus jadi syaitan,” tambah datuk

“Kerana itulah bila mahu menuntut ilmu keduniaan, terlebih dahulu mengisi dada dengan ilmu agama, dapat membesakan mana yang direlakan oleh agama dan yang mana pula ditegahnya. Tak boleh main ikut-ikut silap-silap gaya kita terkeluar dari ajaran agama.

“Keluar macam mana.”

“Takbur dan menafikan kebesaran dan kekuasaan Tuhan, sedangkan sesuatu yang berlaku adalah atas kehendaknya, kita boleh jadi murtad,” Datuk segera bangun. Memang kalau dia masih ada depan saya, banyak lagi pertanyaan yang mahu saya tanyakan. Datuk tahu perangai saya. Dia memilih jalan mudah dengan meninggalkan saya.

Tepat pukul sepuluh malam. Saya dan Bidin tiga suku mudar-mandir dari satu kawasan ke satu kawasan. Kemudain menuju ke kawasan rumah Haji Shafie dengan membawa sebatang kayu panjangnya kira-kira empat kaki. Saya tidak suka dengan perangai Bidin tiga suku yang suka bercakap besar. Sesekali dia bersilat tidak tentu fasal. Tidak boleh terdengar katak melompat. Dia buka silat. Kalau dekat dengannya bertabur darah kepala kena kayu di tanganya. Memang saya tahu, Bidin tiga suku baru dua bulan belajar silat cekak.

“Kau jalan seorang dulu Din, aku nak rehat di tangga surau,” kata saya sambil duduk di anak tangga bongsu. Ketika itu sudah pukul sebelas lebih, bulan mula mengambang. Suara salakkan anjing. Mula kedengaran. Sayup-sayup.

“Ok, kalau aku jumpa, aku lipat empat,”

“Jangan begitu, tak baik.” Saya terdiam. Bidin tiga suku terus meronda. Dua minit kemudian Bidin tiga suku datang pada saya.

“Kenapa ?” tanya saya sambil melihat muka Bidin tiga suku yang pucat lesi. Dia tidak bersuara, jari kelingkingnya menunjukkan ke arah pangkal pokok mempelam. Dada saya berdebar. Saya beranikan diri pergi ke pangkal pokok mempelam. Sebaik saja saya sampai ke pangkal pokok tersebut. Saya terserempak dengan seekor kucing hitam belang putih menangkap tikus. Saya segera mendapatkan Bidin tiga suku kembali.

“Tak ada apa pun di situ ?” kata saya.

“Di situ, aku jumpa dia, biarlah aku balik dulu, perut aku sakit,” kata Bidin tiga suku terputus-putus. Saya membenarkan dia pulang. Tahulah saya kenapa Bidin tiga suku jadi begitu. Saya terus berjaga tanpa Bidin tiga suku. Berjaga tanpa kawan bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Dua tiga kali aya membuat keputusan untuk pulang, tapi kerana memikirkan keselamatan orang ramai saya terpaksa juga berjaga. Suara lolongan anjing makin hebat. Sekali-sekala terdengar bunyi suara burung jampok. Tingkah meningkah dengan suara burung hantu.

Angin malam terus juga bertiup, dedaun bergerak. Saya keraskan semangat dan terus meronda. Kalau ada apa-apa yang meragukan hati, saya akan terus memukul bedok memberitahu kawan-kawan lain. Saya terus berjalan di bawah sinaran bulan yang agak kabur itu. Waktu saya sampai ke pangkal pokok mempelam bagi kali yang ketiga. Saya lihat kucing hitam berbelang putih masih lagi bermain dengan tikus yang ditangkapnya. Saya berdiri di situ. Tiba-tiba bahu saya ditepuk dari belakang. Darah saya tersirap. Badan saya mengeletar. Tidak berani saya menoleh ke belakang saya benar-benar jadi kelam-kabut. Saya mula mahu menjerit, tapi sepasang tangan mencekup mulut saya dengan keras. Saya berhempas pulas berusaha melepaskan diri. Saya terasa mulut saya tidak dicekup lagi. Segera saya menoleh ke belakang.

“Pak Imam.”

“Iya, jangan bising,” Imam Hamid memberi amaran. Dia berkain pelikat. Berbaju Melayu putih dan bersongkok putih. Matanya merah merenung ke muka saya.

“Ke mana Pak Imam menghilang.”

“Itu bukan urusan kau.”

“Pak Imam yang jadi……,” belum sempat saya menghabiskan perkataan, Imam Hamid menarik tangan saya ke bawah pokok mempelam. Dia suruh saya duduk dan dia berdiri gagah di depan saya tidak memalingkan pandangan ke mana-mana. Saya tentang wajahnya dengan harapan di bawah sinaran bulan yang muram, saya dapat melihat pertukaran wajahnya dari manusia kepada anjing. Apa yang saya harapkan tidak terjadi. Pak Imam tetap berwajah manusia. Suara salakkan anjing terus menerus. Burung kian kuat berbunyi. Angin malam menggugurkan mempelam tua. Dengan mendadak saja bulu tengkok saya berdiri.

“Datuk kau berjaga sebelah mana ?”

“Sebelah barat Pak Imam ?”

“Bagus, satu peluang yang baik.”

“Apa yang Pak Imam cakapkan ini.”

“Kau mana tahu,” suaranya keras sekali. Dia menarik tangan saya dengan kasar menuju ke surau. Tidak lama kami berdiri dekat surau. Pak Imam menarik tangan saya menuju ke rumah Pak Jalil. Dia berdiri betul-betul dekat tingkap bilik Minah anak dara Pak Jalil. Saya makin yakin, bahawa manusia berkepala anjing yang dicari selama ini, adalah Pak Imam. Cara yang paling baik saya pilih ialah memukul kepala Pak Imam dekat kayu bila dia terlali.

Sesungguhnya Pak Imam cukup berhati-hati dalam kerjanya. Dia tahu dan ingat tiap langkah yang sudah dan langkah yang akan dibuatnya.

“Saya panggil orang kampung Pak Imam.”

“Jangan, tegahnya. Saya bertambah bingung dengan sikap dan tindak-tanduk Pak Imam Hamid.
“Mari berlindung,” Pak Imam Hamid menolak badan saya hingga jatuh atas tanah. Kemudian kami merangkak perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok asam jawa yang dikelilingi oleh semak samun. Pak Imam Hamid mendongak ke langit melihat bulan. Wajahnya nampak muram, kerana bulan dilangit dilindungi oleh awan tebal. Bila awan tebal berlalu bulan tersembul indah di dada langit. Wajah Pak Imam nampak berseri-seri. Mulutnya mula kumat-kamit membaca sesuatu. Dada saya mula berdebar.

Dalam keadaan yang mendebarkan itu, saya lihat Pak Imam Hamid menukar baju dan kain dengan seluar. Seluruh badan Imam Hamid dibalut oleh kain hitam. Songkok putihnya juga ditukar hitam.

“Aku mahu jadi anjing,” katanya sambil menekan batang leher saya ke bumi. Hidung saya mencium tanah. Imam Hamid meniarap. Sama rata dengan tanah. Dia memberitahu saya supaya jangan lari atau menjerit. Kalau saya tidak menurut perintahnya, dia akan menikam saya dengan lawi ayam. Saya bertambah menggeletar. Suara anjing bertambah kuat. Angin makin kencang bertiup. Berdetup-detap bunyi ranting menimpa bumi. Bulan terus mengamban. Suara katak bertambah rancak menyanyi. Imam Hamid masih meniarap. Matanya merenung ke arah runpun senduduk dan serunai laut di sebelah kanan rumah Pak Jalil. Dua ekor anjing hitam keluar dari situ meraung panjang ke bulan. Ekornya terpacak ke langit. Rumpun seduduk dan serunai laut bergerak hebat. Imam Hamid tidak berkata sepatah apa pun. Mulutnya terus kumat-kamit. Saya lihat matanya tidak berkedip memandang belukar kecil di depannya.

“Lihat katanya.” Saya memandang ke depan, seorang lelaki berkulit hitam berkepala anjing keluar dari celah semak itu. Di meraung bagaikan anjing merenung bulan. Lembaga manusia berkepala anjing melompat ke arah tingkap tempat Minah tidur.

“Datuk kau di mana ?” bisik Imam Hamid.

“Macam saya cakap tadi. Orang ini membalas dendam, selagi keluarga datuk kau tidak dirosakkan dia tidak akan berhenti,”

Saya segera teringat Pak Jalil memang ada hubungan keluarga dengan datuk, malah dalam perkiraan datuk, Minah mahu dijadikannya isteri pada seorang cucunya. Jadi cakap Imam Hamid ini memang ada benarnya. Fikir saya sendirian. Dalam berfikir begitu saya lihat manusia berkepala anjing menepuk dinding, dan daun tingkap rumah Pak Jalil terkuak dengan sendirinya.
Manusia berkepala anjing melompat ke atas. Bertenggik di bendul tingkap. Saya bertambah kelam-kabut. Imam Hamid bangun menuju ke bawah rumah. Dia terus bertempik dan menjerit sekuat hati., kemudian diikuti dengan suara azan yang nyaring. Saya terus menuju ke surau lalu memukul beduk. Bila saya pulang ke tempat asal, saya lihat Imam Hamid sedang berhadapan dengan manusia berkepala anjing. Manusia berkepala anjing terus menyerang Imam Hamid.

Dengan tenang Imam Hamid mengelak serangan itu. Saya mendekati Imam Hamid. Dia menyuruh saya pergi jauh. Jelas kedengaran Imam Hamid membaca ayat-ayat suci masa dia bertarung dengan manusia berkepala anjing. Saya terus berdoa semoga orang-orang kampung akan datang segera ke tempat Imam Hamid. Dalam keadaan yang gawat itu, saya lihat manusia berkepala anjing tidak berdaya menyerang Imam Hamid. Dia lemah. Ketika itulah Imam Hamid memasukkan jawi ayam ke perut manusia berkepala anjing. Imam Hamid meneruskan pembacaan ayat-ayat suci.

Manusia berkepala anjing berguling-guling atas tanah. Seluruh isi rumah Pak Jalil terjaga. Dan orang-orang kampung pun tiba. Datuk meluru ke depan, Imam Hamid segera menghalang.

“Jangan dekat dia, biarkan di situ nanti kita akan tahu siapa dia.”

“Biar saya tikam,” kata datuk.

“Jangan, kita cuma boleh menikam hanya sekali, kalau dua kali kita tikam dia tidak akan mati,” terang Imam Hamid. Datuk akur dengan perintahnya itu.Bila manusia berkepala anjing itu berhenti menggelupur, kepalanya segera hilang dan diganti dengan kepala manusia.

“Anjang Dollah,” kata datuk. Imam Hamid senyum, saya bertambah bingung. Macam mana orang yang sudah mati boleh hidup kembali. Perkara itu segera tanyakan pada Imam Hamid. Dengan senyum Imam Hamid menjawab, “roh dan badannya tidak di terima bumi, keran mengamalkan ilmu salah.”

“Begitu,” sahut saya lembut. Saya lihat bekas tempat manusia berkepala anjing itu berguling terdapat batang pisang. Datuk terus memotong batng pisang itu tujuh kerat. Dua dibuang ke dalam semak dan yang lima lagi dicampakkan ke laut pada keesokan harinya.Atas arahan Imam Hamid, dia menyuruh penduduk kampung membaca Yassin empat puluh empat malam berturut. Perintah itu juga dituruti oleh orang-orang kampung. Sejak itu kampung saya tidak diserang oleh manusia berkepala anjing hingga sekarang.

Dua bulan lepas peristiwa itu, datuk mengajak saya pergi ke Kampung Sungai Sadang. Datuk ke situ kerana, dia diajak oleh kenalan rapatnya menangkap burung waktu malam. Saya membantah rancangannya, tapi datuk yang terkenal dengan keras kepala itu tidak peduli dengan bantahan saya.
Reade more >>

8. Manusia Berkepala Anjing

8. Manusia Berkepala Anjing

Imam Hamid mengedutkan dahinya hingga berlapis empat. Dia renung muka datuk. Dia renung muka saya hingga kepucatan yang terhampir di wajahnya hilang.

“Mustahak ke ?” soalnya agak ragu.

“Memang mustahak, perkara yang mahu diceritakan ni ada hubungannya dengan diri Pak Imam.”

“Dengan diri saya ?”

“Iya,” datuk angguk kepala.

Tanpa banyak bicara Imam Hamid mengikut datuk dan saya ke rumah. Kami bertiga duduk bersila di anjung rumah. Macam selalu datuk bila berbual suka bersandar. Sebelah kakinya berdiri lutut. Ini memang amalan datuk. Menurut datuk duduk begitu bukan duduk yang kosong. Duduk yang ada makna. Susah kalau musuh mahu menyerang, payah hantu syaitan mahu mengoda.

“Apa dia perkara yang mustahak tu?” Imam Hamid mula mendesak. Datuk tersenyum. Serentak dengan itu nenek pun meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.

“Begini,” datuk menggeliat dan terus bercerita :

“Anjang Dollah sudah mati, pagi esok kita terpaksa uruskan mayatnya untuk di tanam. Dia mati dibunuh syaitan yang dibelanya.” Imam Hamid terkejut. Kemudain dia senyum. Sepasang matanya merauti paras datuk. Saya cuma diam sahaja. Tidak baik campur orang tua-tua bercakap.

“Pemintaan saya diberkati Allah.” Itu yang terhambur dari mulut Imam Hamid. Matanya bercahaya memandang muka saya.

“Dengan apa Pak Imam membinasakan kerja laknat tu, “datuk terus bertanya. Imam Hamid gosok batang hidungnya beberapa kali.

“Dengan ayat Quran, kau harus tahu tidak ada kuasa yang dapat mengatasi kekuasaan Tuhan, lagi pun dalam Quran sudah lengkap semuanya. Kerja jahat memang tidak diberkati Tuhan.” Itulah yang diberitahu oleh Imam Hamid pada datuk. Datuk angguk kepala. Imam Hamid pun terus bercerita pada datuk tentang diri Anjang Dollah. Menurut Imam Hamid, Anjang Dollah memanglah dukun yang tidak bersih. Ia tidak mengamalkan ilmu kedudukannya untuk kebaikan manusia. Dia bekerja bergurukan syaitan. Kerjanya mengorek kubur perempuan mati beranak, suka ambil kain kapan rambut orang yang baru mati beranak.

“Agaknya dia dukun sihir Pak Imam,” dengan mendadak datuk bersuara. Imam Hamid mengakuinya sambil berkata : ” Dia sudah dipengaruhi syaitan sanggup mengambil darah orang mati beranak untuk makanan syaitan yang dipeliharanya.”

“Siapa pula yang di belanya tu ?” saya tanya. Datuk merenung dengan marah pada saya.

“Hantu itu, adik perempuannya sendiri, dia potong kepalanya dan hal tu tak dikesan oleh sesiapapun.”

“Dahsyatnya,” ujar datuk.

“Memang dahsyat dan aku menduga dia akan mengorek kubur anak aku. Jadi aku bersedia untuk menghantarkannya.” Imam Hamid berhenti bercerita. Dia minta diri untuk pulang ke rumahnya. Mula daripada malam itulah datuk mendapat tahu, bahawa Imam Hamid bukan sebarang orang. Dia banyak ilmu dunia dan akhirat. Sifat orang terpuji pada diri Imam Hamid kerana dia tidak mahu menunjukkan kebolehannya di mata orang ramai. Inilah yang mengkagumkan diri datuk.

Sebaik sahaja Imam Hamid pulang. Saya dan datuk tidak dapat tidur. Rumah datuk diganggu dengan bermacam-macam cara. Pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Kelambu datuk terbakar sendiri. Paling mengerikan bila rumah dibaling dengan batu dan kayu. Datuk tidak bertindak dia cuma membiarkan sahaja. Dia cukup tenang duduk di tengah rumah. Bila datuk mahu pergi ke perigi untuk mengambil air sembahyang. Dia terkejut. Ruang luas di anjung rumahnya penuh dengan daun buluh dan batang pisang.

“Syaitan, semuanya kerja syaitan,” keluh datuk. Dia terus ke perigi. Saya juga ikut ke perigi. Kami sembahyang subuh bersama. Selesai sahaja datuk sembahyang semua daun pisang dan batang buluh hilang. Pagi itu, kami berdua segera pergi ke tanah kubur. Sampai sahaja di kawasan tanah perkuburan. Imam Hamid dan beberapa orang kawannya sudah berada di situ. Mayat Anjang Dollah sudah dimasukkan ke dalam guni. Dua orang anak muda sudapun mengandar guni yang berisi mayat Anjang Dollah.

Datuk segera mendapatkan Imam Hamid minta kebenaran untuk melihat mayat Anjang Dollah. Permintaan datuk itu tidak dihampakannya. Sebaik sahaja datuk melihat mayat Anjang Dollah dalam guni. Air mukanya segera berubah. Jadi cemas.

“Kenapa jadi macam itu ?” Datuk dengan tiba-tiba bersuara.

“Itulah pembalasan yang dapat kita lihat, bila orang melakukan kerja-kerja yang bertentangan hukum Allah,” bisik Imam Hamid pada datuk. Mayat Anjang Dollah pun dibawa ke rumah. Dia dimandi dan dikapan, akhirnya disemadikan di tanah perkuburan.

Cerita tentang Anjang Dollah pun padam dari jadi pokok perbualan orang-orang kampung. Datuk mula berkawan dengan Imam Hamid. Tujuan utama datuk berkawan ialah untuk menambahkan ilmu buat dirinya. Orang yang selalu dibawa oleh datuk ke rumah Imam Hamid, saya sendiri. Kadang-kadang saya jadi bosan dan benci dengan perangai datuk itu. Bila saya memprotes, datuk cuma ketawa sahaja. Dia berharap benar-benar supaya saya ambil tahu tentang kepandaian orang Melayu dalam beberapa bidang tertentu yang menurut datuk kebolehan dan kepandaian itu sudah mulai pupus. Pada dasarnya , saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh datuk itu.

“Aku tak mahu kau jadi dukun atau pawang,” kata datuk pada satu malam.

“Tak guna saya ikut datuk.”

“Ada gunanya,”

“Apa gunanya, sekadar untuk tahu sahaja tak lebih dari itu, aku mahu kau jadi doktor atau peguam.”

“Jadi dukun, sama juga tarafnya dengan doktor.”

“Itu pendapat yang salah,” dalih datuk.

Kerana malam itu terlalu dingin, saya minta pada datuk untuk tidur dalam biliknya. Permintaan saya itu diizinkan oleh datuk dengan syarat saya tidak dibenarkan mengusik semua perkakas datuk dalam biliknya. Pesan datuk itu saya akur. Waktu saya menolak pintu bilik datuk, saya lihat jam di ruang tengah baru pukul sebelas malam. Sepatutnya saya tidur lebih awal dari itu kerana esoknya saya mesti pergi ke Kuala Lumpur untuk temuduga sebagai buruh hutan atau forest labourer.
Datuk sudahpun memberikan beberapa petua untuk temuduga tersebut. Antaranya, bila saya mahu melangkah harus dimulakan dengan kaki kanan. Tidak boleh berpatah balik. Bila berhadapan dengan orang yang menemuduga kelak. Saya harus membengkokkan jari telunjuk saya sambil berkata.

“Aku tidak mematahkan jariku, tapi mematahkan hati orang yang menyoal. Biar dia simpati dan kasih pada diriku.” Sebaik sahaja berkata begitu, saya disuruh salawatkan Nabi tiga kali sambil membaca ayat Kulya.

Semuanya saya lakukan dalam hati. Saya masuk ke dalam bilik datuk rebahkan badan atas katil. Tiba-tiba saya rasa katil bergerak. Saya bangun dan menoleh ke kanan. Badan saya mengeletar. Seorang lelaki berbadan tegap, bermandikan peluh, berdiri di situ. Muka lelaki itu kelihatan hitam. Bila direnung lama-lama muka lelaki itu berubah menjadi muka anjing yang garang mula dari pangkal lehernya.

Lelaki itu menjelerkan lidah anjing dan cuba menjilat badan saya. Saya terus menjerit, serentak dengan itu datuk melompat ke dalam bilik dengan keris di tangan. Manusia berpala anjing merenung muka datuk dan bersedia untuk menerkam padanya. Datuk angkat tangan kiri separas dada. Tangan kanannya menunjuk ke arah manusia berkepala anjing. Jari manis dan jari kelingking datuk berkait antara satu sama lain. Manusia kepala anjing melompat ke sebelah kiri, kemudian hilang di balik dinding. Serentak dengan itu juga tingkap bilik datuk terbuka kemudian bagaikan dihempas oleh sesuatu benda, papan tingkap memukul jenang, seluruh bilik bergegar. Barang-barang yang tersangkut di situ jatuh berserak ke lantai.

Datuk menerpa ke tepi tingkap. Dilihatnya bulan sedang mengambang. Angin tidak bertiup tetapi pokok rambutan gading di depan rumah bergerak. Beberap minit kemudian terdengar salakkan anjing bersahut-sahutan. Datuk meniup tingkap. Dia menyuruh saya pindah ke bilik lain yang dekat dengan bilik nenek.

“Jaga cucu kita ni baik-baik,” datuk beritahu nenek

“Awak na ke mana ?”

“Aku nak selesai masalah baru ini di rumah Imam Hamid.”

“Awak nak pergi seorang.”

“Tentulah,” suara datuk keras.

Baru lima langkah datuk melangkah di halaman terdengar jeritan orang perempuan dari rumah Hussein Janggut. Datuk bergegas ke situ.

“Kenapa Sin ?” datuk tercungap-cungap.

“Bilik anak dara saya di masuk orang berkepala anjing.”

“Kemudian apa jadinya ?”

“Dia cuba membawa anak dara saya keluar dari rumah ni,” sungut Hussein Janggut parau. Dalam beberapa detik sahaja rumah Husein Janggut mula dikerumuni orang kampung. Malam itu sahaja sekurang-kurangnya lima buah rumah yang ada anak dara telah didatangi oleh mahluk manusia berkepala anjing. Seluruh kampung Paya Liam jadi gempar. Malam itu juga bentuk dibentuk jawatankuasa pengawal kampung. Seluruh isi perut kampung Paya Lima berazam mahu menangkap manusia aneh itu. Perkara itu segera dilaporkan kepada pihak polis.

Dua malam kemudian atas inisiatif Imam Hamid, orang lelaki Paya Lima dikumpulkan di surau. Mengadakan pembacaan Yassin untuk hindarkan manusia kepala anjing berluluasa di kampung tersebut. Ibubapa yang mempunyai anak dara diminta supaya jangan membenarkan anak dara mereka berjalan waktu malam, terutama ketika bulan mula mengambang. Setiap anak dara disuruh membawa pisau atau parang bila mahu tidur. Pintu dan tingkap harus dikunci. Datuk dan Imam Hamid sungguh runsing dengan kejadian itu.

Dalam sibuk-sibuk perkara manusia berkepala anjing, Imam Hamid menghilangkan diri dari kampung tersebut. Dengan itu beberapa tuduhan mula dilemparkan oleh orang-orang kampung pada Imam Hamid. Datuk bertindak tegas. Dia menolak semua tuduhan itu dengan alasan yang dapat diterima oleh orang-orang kampung.

“Cara yang paling selamat kita lakukan ialah bejaga pada setiap malam.” Itu nasihat datuk pada orang-orang kampung. Beberapa orang dukun memberikan petua pada anak dara dan teruna supaya menaruh inai di jari manis. Dukun-dukun juga menasihatkan setiap rumah harus menyimpan Quran dan membacanya pada setiap malam. Dengan itu akan melumpuhkan kegiatan manusia kepala anjing datang ke rumah yang ada anak dara dan teruna.

Dukun-dukun atau pawang mengesahkan bahawa manusia kepala anjing itu adalah manusia yang datangnya dari kampung berhampiran yang sedang mengamalkan ilmu salah. Dia sedang menuntut ilmu seri pandang yang antara lain memaksa penuntut ilmu menjadi anjing. Dia akan menjadi manusia yang kacak dan cantik, bila dia sudah dapat memperkosa empat puluh orang gadis atau dapat menghisap darah anak teruna sebanyak empat puluh empat orang. Kalau dia tidak dapat berbua begitu, dia akan terus menjadi anjing berbadan manusia hingga hari kiamat. Kalau dia berjaya, dia akan dapat menguasai hantu syaitan yang akan memberikan kemewahan pada dirinya.

Malam itu, datuk pulang dari surau sesudah membaca Yassin. Waktu datuk mahu melintasi parit kecil yang memisahkan Kampung Paya Besar dengan Paya Lima, datuk terpandang pokok keduduk dan serunai laut tepi parit bergerak-gerak. Datuk sembunyikan diri di balik pokok besar. Di langit bulan mula mengambang, makin kuat sinar bulan memanah bumi, makin kuat pokok-pokok kecil di situ bergerak.

Anjing mula bersuara keras. Datuk membuat keputusan untuk mengetahui apakah gerangan yang bergerak dalam hutan kecil itu. Bila bulan sudah cukup mengambang. Datuk melihat satu lembaga manusia bergerak dan berjalan macam anjing, mencium tanah dan pokok-pokok di situ.

“Syaitan,” sergah datuk. Lembaga itu terus menyalak macam anjing. Dari merangkak lembaga itu tegak berdiri. Dengan tiba-tiba sahaja beberapa ekor anjing besar mengelilingi lembaga itu.

“Engkau rupanya memang aku cari selam ini,” suara datuk keras. Bila dia melihat manusia berkepala anjing hitam itu dengan matanya yang bercahaya ke merah-merahan. Bulunya cukup tebal. Giginya putih tajam dan air lior melilih di muncungnya. Rupanya cukup mengerikan. Manusia berkepala anjing itu mula menerkam pada datuk. Macam selalu datuk yang memang pandai bersilat itu mengelak dengan mudah. Perbuatan datuk itu menaikan darah manusia berkepala anjing itu. Ia melolong dengan kuatnya. Empat ekor anjing hitam di sampingnya datang menyerang datuk. Anehnya semua anjing-anjing itu hilang entah ke mana, bila datuk membaca ayat Al-Kursi. Dengan itu menguatkan hati datuk, bahawa dia berhadapan dengan syaitan.

Sekarang, datuk berhadapan dengan manusia berkepala anjing satu sama satu. Tidak mudah bagi datuk untuk menewaskannya. Manusia berkepala anjing tidak menyerang datuk, tapi dia menenung muka datuk dengan matanya yang bersinar tajam. Dua kali datuk jatuh terlentang. Belumpun sempat manusia berkepala anjing menerkam padanya datuk segera bangun. Datuk pun menggunakan ilmu kebatinannya untuk menentang manusia kepala anjing. Di samping itu datuk juga menggunakan ayat-ayat al-Quran. Datuk mula terasa musuh yang ditentangnya beransur lemah.

Benarlah, manusia kepala anjing itu mula rabah ke bumi. Dengan sekilas pandang datuk sudah dapat mengenali manusia berkepala anjing.

“Aku kenal kau,” pekik datuk. Serentak dengan itu tempat manusia berkepala anjing terus ghaib. Datuk menang dalam perjuangan ini. Tapi datuk memang tidak menduga manusia yang jadi kepala anjing itu, adalah manusia yang dikenalinya. Dia pernah bercakap dengan orang itu. Memang di luar dugaan perkara itu boleh berlaku. Apakah orang itu melakukan semuanya kerana mahu membalas dendam. Persoalan ini timbul dalam kepala datuk sepanjang malam.
Reade more >>

7. Terkencing Dalam Seluar

7. Terkencing Dalam Seluar

Bulan di langit mula dilitupi awan. Angin kian keras bertiup. Bunyi dedaun yang bergeseran sama sendiri amat menakutkan. Dan datuk terus melangkah dengan tenang. Api yang memakan daun kelapa, sekerap marak, sekejap suram.

“Kenapa kita ikut sini tok ?” tanya saya. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh datuk, bunga-bunga api dari andang daun kelapa jatuh atas bumi. Saya tidak tahu kenapa datuk ikut jalan ini. Kenapa dia tidak mahu ikut jalan biasa yang mudah dan senang. Tidak perlu melintas tanah sawah yang luas terbentang.

Saya yang memakai baju Melayu cekak musang terpaksa mengulung lengan baju hingga ke siku, kasut getah dan hujung seluar hitam saya mula basah diresapi oleh aori embun. Langkah datuk terus lancar. Andang kelapa diangkatnya tinggi-tinggi.

“Kita patah balik ikut jalan lain tok,” saya mengemukakan cadangan. Datuk berhenti. Dia cacakkan andang daun kelapa tepi batas. Datuk membuang pacat yang singgah di kaki seluarnya.
“kenapa mesti patah balik, ikut sini dekat,” datuk cabut andang daun kelapa. Saya diam.
Cakapnya tidak boleh dibantah. Saya melangkah dengan hati-hati. Silap langkah nanti jatuh ke dalam sawah. Cahaya dari andang daun kelapa menerangi rumpun-rumpun padi yang baru pecah anak, sesekali terdengar bunyi haruan melompat dalam air sawah menangkap anak. Suara burung hantu dan jampuk saling tingkah meningkah. Bulan sudah tidak mengeluarkan sinarnya. Wwan telah kelindungi permukaan bulan. Suara lolongan anjing kian bertambah keras. Daun-daun dari pokok besar yang memagari batas sebelah kanan tetap bergerak hebat. Angin malam cukup keras bertiup. Badan saya rasa cukup dingin.

“Lagi cepat kita sampai, lagi baik,” suara datuk parau. Dia menoleh ke arah saya.

“Saya sejuk tok, jauh lagi ke ?”

“Ah, kejap lagi sampailah, sekarang kau jalan dulu, biar aku ikut kau dari belakang.” Itu perintah datuk. Badan saya jadi mengeletar, macam-macam perkara buruk datang dalam hati saya.

“Tok jalan dulu, saya tak tahu jalan,” saya berdalih.

“Kau tak tahu, atau pun kau takut ?” Datuk ketawa. Dia memaksa saya jalan dulu. Saya tidak ada pilihan lain. Saya menurut perintahnya. Saya dan datuk sampai di sebuah taliair. Datuk menyuruh saya ke belakang. Lama juga dia berhenti di tepi taliair itu sambil merenung pada air yang mengalir.

“Jalan ke depan lagi, di sana ada titi tak payah kita melompat,” ucap datuk dengan tenang. Kami mara ke depan. Berhenti di bawah pokok mempelam telur yang berdaun lebat. Cakap datuk memang tepat, di pangkal pokok mempelam telur terdapat titi batang pinang. Kami menyeberang dengan selamat, dari situ kami mendaki bukit kecil yang penuh dengan pokok pisang hutan, selesai mendaki bukit itu , kami berhadapan dengan sebatang jalan tanah merah ynag lebarnya kira-kira dau kaki.

“Ikut jalan ini ke utara,” ujar datuk sambil meraba ulu golok peraknya. Saya anggukkan kepala dua tiga kali. Berjalanlah saya dengan datuk, suara burung hantu terus juga menyumbat lubang telinga. Kami melintasi sebuah tanah perkuburan. Dari sinar api andang daun kelapa itu, saya melihat batu-batu nisan terpacak dengan gagahnya. Suara burung hantu kian kuat. Suara salakkan anjing kian dekat terdengar. Pokok-pokok puding dan pokok-pokok kecil lain yang berhampiran dengan tanah kubur saya lihat bergerak-gerak, bagaikan ada benda yang menggoncangnya.

Awan tebal yang melindungi bulan mula beredar, dan sinar bulan mula menerangi sebahagian dari jalan yang kami lalui, tiba-tiba awan tebal datang kembali menutup bulan dan andang kelapa yang saya bawa pun padam. Datuk berhenti, dia membakar andang kelapa yang baru, memang datuk membawa dua tiga andang daun kelapa untuk digunakan dalam satu-satu keadaan yang tertentu.

“Jalan cepat sikit, aku rasa tak berapa sedap hati di sini,” datuk menyuarakan suara hatinya. Saya diam.

“Langkah panjang sikit,”tambah datuk lagi. Saya hanya boleh anggukkan kepala sahaja. Tidak lebih dari itu. Angin malam yang bertiup menjatuhkan dedaun tua dan ranting-ranting, berderup-derup bunyinya, bagaikan orang mematah kayu kering. Saya mula terasa cemas, tapi saya tidak menyatakan hal pada datuk.

Saya dan datuk jalan dan terus berjalan, matlamat kami mahu sampai ke rumah Anjang Dollah dengan secepat mungkin. Barangkali Anjang Dollah sudah bersila di muka pintu menanti kedatangan kami, agaknya Anjang Dollah sudah menyediakan semua barang yang digunakannya untuk kami, fikir saya dalam hati.

Tanah perkuburan tua agak jauh kami tinggalkan. Dada saya terasa lapang, tapi batin saya terus menyumpah seranah suara burung hantu yang seakan-akan mengikuti langkah kami. Datuk berhenti berjalan.

“Siapa tu,” suarnya perlahan. Saya merenung ke depan. Saya terpandangkan benda putih berjalan terhincut-hincut di depan datuk dan saya, kerana bulan dilitupi awan tebal dan cahaya dari andang datuk tidak menyala dengan baiknya, saya tidak dapat melihat dengan jelas benda tersebut.

“Barangkali ada orang nak lalu,” datuk bersuara tenang. Saya juga sependapat dengan datuk. Suara burng hantu dan jampuk bertambah galak. Salakkan anjing bertalu-talu, sayup-sayup dan memanjang pula, bagaikan orang menangis di malam sepi. Benda putih terus menghampiri kami, bila datuk mahu menegurnya, benda putih tersebut itupun hilang. Entah ke mana. Saya tidak dapat mempastikan apakah dia masuk ke dalam hutan pokok pisang di kanan, atau masuk ke dalam belukar di kiri jalan. Benda putih itu menjelma di depan kami lagi.

“Bukannya manusia,” datuk membisik ke telinga saya. Serentak dengan itu dia memadam api andang daun kelapa.

“Kita ke tepi, biarkan dia lalu,” perintah datuk. Saya patuh pada arahan datuk. Kami berdiri di balik pokok getah besar. Benda putih itu melintas di depan kami. Saya tidak dapat melihat bentuk mukanya. Apa yang saya lihat pada benda putih itu berjalan tanpa kaki, tidak mempunyai kepala. Berjalan menuju ke kawasan tanah perkuburan, saya dan datuk melihat Anjang Dollah datang membawa cangkul.

“Apa ni tok,” tanya saya pada datuk.

“Kau diam, kau ikut saya apa yang aku buat,”

“Baik tok,” saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Datuk melangkah ke jalan tanah merah. Dia menarik tangan saya mengikuti langkah Anjang Dollah menuju ke kawasan perkuburan. Saya menurut sahaja. Dua tiga kali saya tersungkur kerana tersepakkan batu-batu nisan. Datuk berhenti.Saya mendongak ke langit, awan tebal sudah berlalu dari sisi bulan. Dengan pertolongan sinar bulan enam belas, kami dapat apa yang dilakukan oleh Anjang Dollah. Dia sedang mencangkul tanah perkubur. Benda putih duduk dekat batu nisan.

Anjang Dollah dapat menyelesaikan semua tugas-tugas dalam masa kurang lebih empat puluh lima minit. Seluruh badannya dibasahi peluh, nampak berminyak-minyak ditampar sinar rambulan enam belas. Dia duduk di pangkal pokok cempedak. Kemudian dia berkata pada kawannya yang nampak putih itu. Benda putih tanpa kepala dan kakai itu, bagaikan terawang-awangan, bergerak dan berhenti di depan Anjang Dollah.

“Hai sahabatku, tunggu di sini, biarkan aku ambil kain kapan dan rambut perempuan, kemudian kau bawa barang-barang itu pulang ke rumah kita kau tunggu aku di sana, aku tak boleh balik bersama, kerana banyak kerja yang mahu aku selesaikan,” itulah yang dicakapkan oleh Anjang Dollah pada sahabatnya.

Anjang Dollah terjun ke dalam kubur. Dia mengambil kain kapan orang mati beranak dan rambut. Lama juga Anjang Dollah berada di dalam lubang kubur. Benda putih tanpa kepala dan kaki berlegar-legar di tepi kubur. Kadang-kadang dia nampak bagaikan duduk di akar pokok cempedak. Suara burung hantu kian gamat. Suara jampuk bersahut-sahutan. Lolong anjing tingkah meningkah. Suara dahan kayu berlaga sama sendiri jelas kedengaran di rempuh angin malam. Ranting tua dan daun tua gugur ke bumi.

Saya bagaikan terdengar bunyi orang berjalan di belakang. Bila ditoleh , tidak ada apa-apa. Saya bagaikan terdengar bunyi burung terbang di atas kepala. Bila diperhatikan tidak ada apa-apa. Bulu tengkok saya berdiri tegak. Macam-macam perkara aneh saya rasakan. Saya rapat pada datuk yang duduk tenang. Mulunya membaca sesuatu, saya sendiri tidak tahu apa yang dibaca olehnya.

“Kau ingat, tidak ada benda yang berkuasa di dunia ini, selain daripada Allah yang maha besar, dan tiada manusia yang boleh melawan kekuasaannya. Ingatkan Allah yang maha besar,” datuk memberitahu saya, bila dilihatnya saya mengeletar sendirian.

“Kau lihat di depan,” datuk menajamkan mulutnya ke arah kubur yang digali oleh Anjang Dollah. Saya merenung ke depan. Saya lihat benda putih tanpa kepala dan kaki itu terjun ke dalam kubur. Saya terdengar bunyi suara Anjang Dollah terpekik dalam kubur, tanah kubur berterbangan ke udara, serentak dengan itu juga saya dengar suara mengaum macam suara harimau dari dalam kubur.

Suara jeritan Anjang Dollah beransur lemah. Tanpa dapat ditahan datuk meluru ke tanah kubur. Datuk mahu menolong Anjang Dollah, dia mengambil sepotong kayu, lalu memukul benda putih yang keluar dari lubang kubur. Setiap kali datuk memukulnya, benda itu tidak melawan, malah dia mengelak, akhirnya ghaib dari kawasan perkuburan. Datuk memanggil saya, waktu saya mahu sampai dekat datuk, saya rasa pangkal seluar saya basah. Sesungguhnya, saya tidak sedar waktu bila saya terkencing dalam seluar. Datuk suruh saya membakar andang daun kelapa. Saya patuh dengan cakapnya. Bila andang daun kelapa sudah terbakar. Kawasan sekitar tanah kubur yang digali oleh Anjang Dollah terang.

“Kau lihat ,” datuk menuding jari kelingkingnya ke dalam lubang kubur. Lubang kubur saya jenguk. Anjang Dollah terbaring di dalamnya. Seluruh mukanya berdarah. Di sebelahnya terdapat mayat seorang perempuan, kepalanya sudah terpisah dengan badan. Kain kapannya sudah koyak dan berdarah.

“Perbuatan yang dikutuki oleh Allah, perbuatan sesat yang terpisah dari ajaran agama, cuma orang yang tidak beriman dan tidak percayakan Allah saja yang berani membuat kerja sial ini,” datuk merungut panjang. Saya renung muka datuk. Wajahnya penuh kesal. Memang, di luardugaan datuk, bahawa pawang Anjang Dollah boleh membuat kerja yang tidak direlakan oleh agama Islam.

“Apa yang patut kita buat datuk,” saya menyoal datuk. Lama juga datuk termenung di situ. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya.

“Sebagai orang Islam, Anjang Dollah tidak boleh dibiarkan begini, dia harus dimandikan, dikapan dan ditanam serta dibacakan talkin,” terang datuk.

“Siapa yang mahu menguruskan semuanya ini.”

“Siapa lagi, kita yang mesti menyelesaikannya,” datuk bersuara tegas.

“Dia membuat kerja yang silap, biarkan dia di situ,” bantah saya. Datuk senyum. Suara burung hantu dan jampok terus bersahut-sahutan, tapi suara salakkan anjing sudah tidak ada lagi. Bunyi dahan jatuh masih kedengaran.

“Kau silap, kita tahu dia memang beragama Islam, soal dia membuat kerja yang tidak baik tu, soal dia dengan Tuhan,” datuk memberitahu saya. Datuk membuat keputusan yang tepat. Dia mahu memberitahu pada seluruh penduduk tentang peristiwa yang menimpa diri Anjang Dollah. Dia mahu menghebahkan hal itu ke seluruh kampung. Datuk juga mengharap pada sesiapa yang mengambil ilmu salah atau yang berguru dengan Anjang Dollah supaya bertaubat dan membuangkan semua ilmu itu untuk kembali ke jalan Allah.

Saya merenung ke dalam kubur kembali. Saya lihat mayat perempuan mati beranak itu masih berdarah, saya kira perempuan itu tentu sahaja baru ditanam. Hal itu saya tanyakan pada datuk.

“Agaknya dia mati semalam,” kata datuk.

Dia menarik tangan saya keluar dari kawasan perkuburan. Kami berpatah balik menuju ke kampung. Bila sampai di kampung nanti, datuk mahu melapurkan perkara itu kepada penghulu. Kami kembali meredah tanah sawah yang luas terbentang. Kali ini saya tidak mahu berjauhan dengan datuk. Datuk tahu perasaan hati saya. Dia menyuruh saya memegang painggang seluarnya.

Sebaik sahaja kami sampai di gigi kampung, saya dan datuk terserempak dengan Imam Hamid. Dia agak terkejut bila kami nyatakan yang kami baru sahaja kembali dari tanah kubur.

“Apa halnya,” tanya Imam Hamid.

“Panjang ceritanya dan Pak Imam ni dari mana,” soal datuk.

Imam Hamid terdiam. Kemudian dia memberitahu kami, bahawa dia juga mahu pergi ke kubur.

“Apa sebabnya,” datuk mengemukakan soalan. Imam Hamid diam sejenak.

“Anak aku Sepinah mati beranak, dah ditanam pun pagi semalam.”

“Kami tak tahu,” jawab datuk.

“Silap aku, aku mahu menanamnya cepat, tiba-tiba malam ini hati aku teringatkan dia, aku bimbang kuburnya dikorek orang, kau sendiri tahulah sekarang, kubur perempuan mati beranak suka sangat digali orang,” terang Imam Hamid.

Mendengar cakap Imam Hamid itu, wajah datuk segera berubah. Dia mula ragu dengan apa yang dituturkan oleh Imam Hamid. Jauh dalam hati datuk, timbul satu pertanyaan apakah Imam Hamid bersubahat dengan Anjang Dollah dalam perkara ini ? Datuk terus menepuk bahu Imam Hamid dalam mengajak dia pulang. Imam Hamid keberatan. Datuk terus memujuk. Ada sesuatu yang mahu disoal oleh datuk pada Imam Hamid. Kalaulah Imam Hamid membuat kerja terlarang, dia mahu memujuknya supaya kembali ke jalan Allah.

“Ke rumah saya saja malam ini, ada hal yang mahu saya tanya pada Pak Imam,” kata datuk. Mendengar cakap datuk itu muka Imam Hamid berubah menjadi pucat.
Reade more >>

6. Melihat Jembalang Air

6. Melihat Jembalang Air

Datuk menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk cabut golok perak di pinggang.

“Kalau kau berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti.” Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun pangung kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu-satu. Barulah puas hati datuk. Malam bertambah dingin. Daun-daun pokok di kiri kanan jalan bergerak-gerak diterajang oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut-sahutan. Di selang-seli dengan raungan anjing yang mendayu-dayu.

Datuk merenung ke dalam sungai. Datuk lihat air sungai yang mengalir tenang itu bergolak dan berombak. Datuk pasti di tempat air yang beralun dan berombak itulah bangkai ular yang dipotongnya jatuh. Makin lama, makin kuat alun dan gelombang air sungai itu bersama dengan bunyi yang hebat. Datuk terdengar bagaikan ada orang mandi di situ. Datuk termenung. Belum pernah dia berhadapan dengan hal-hal begitu. Mata datuk terus juga merenung pada air sungai yang beralun dan berbunyi dengan teliti. Datuk berdebar juga. Terniat dalam hatinya mahu meninggalkan tempat tersebut. Niat itu mati dengan sendirinya, bila timbul desakan dalam hatinya untuk mengetahui apakah benda dalam perut sungai.

Dalam suasana agak kelam-kabut itu. Datuk terpandang, air sungai mula melimpah ke tebing. Di tengag-tengah sungai itu timbul satu lembaga besar hitam, badannya sebesar kerbau jantan. Lembaga itu terus timbul. Setiap kali lembaga itu bergerak. Air terus bergelombang merempuh pokok-pokok keladi di tebing sungai. Semuanya tumbang. Macam selalu, bila berhadapan dengan perkara-perkara yang aneh datuk akan membaca ayat suci al-quran. Kali ini datuk membaca ayat ‘Kursi’ dengan khusuk. Semasa dia membaca ayat-ayat itu lembaga di dalam sungai terus mengamuk dan bertempik, bagaikan suara gajah. Datuk tidak peduli. Dia terus membaca. Bila ayat itu habis dibaca. Suasana di dalam sungai kembali normal. Air sungai terus mengalir tenang. Daun-daun pokok tidak bergerak meskipun angin malam bertiup.

“Syaitan ?” kata datuk sambil meninggal kan tempat tersebut. Datuk terus mendapatkan anak buahnya. Mereka berkumpul kerana hari sudahpun beransur cerah. Datuk terus membawa anak buahnya ke surau dan menunaikan sembahyang subuh. Lepas sembahyang subuh mereka pun berpecah meneruskan kerja masing-masing. Separuh dari pada anak buahnya terus ke Paya Besar menoreh getah dan separuh lagi pergi ke tempat perusahaan membuat batu-bata di Jalan Parit. Banyak juga anak buah datuk yang menjadi buruh di syarikat perusahaan itu.

Datuk tidak pula menceritakan apa yang dialaminya pada orang-orang kampung. Walaupun begitu, ada juga orang kampung yang mengalami peristiwa seperti yang datuk alami itu bila berjalan malam di jambatan besi tersebut. Jambatan besi itu masih ada lagi hingga sekarang, terletak di antara Kampung Pulau Kabung dengan Kampung Mandi Upeh. Tapi , peristiwa ganjil seperti yang dialami oleh datuk itu tidak berlaku lagi.

Di kiri kanan jambatan besi itu kini sudah penuh dengan rumah kediaman. Kadang-kadang jambatan itu jadi tempat persinggahan anak muda pada setiap malam, selepas mereka menonton wayang di Pekan Sitiawan, Air Tawar atau Bruas. Dan kalau diceritakan kisah-kisah aneh pada mereka. Mereka tidak akan percaya, malah mereka akan mengetawakan pada orang yang menceritakannya.

Sebulan selepas dari peristiwa yang aneh itu, pada satu malam rumah datuk didatangi oleh seorang pemuda Udin namanya. Dia meminta jasa baik datuk untuk membuat air penawar pada anak kecilnya yang sudah seminggu menangis malam.

“Agaknya perut anak kau kembung,” kata datuk sambil merenung muka Udin.

“Sudah berbotol minyak angin saya lumurkan ke perutnya.” Jawab Udin dengan tenang. Datuk terdiam kerana dia tahu, dia bukanlah seorang dukun atau pawang, tapi kerana dia merupakan orang yahng tertua di kampung tersebut, dia dianggap tahu dalam hal-hal kedukunan.

“Bawa saja anak kau ke klinik,” datuk mengesyurkan. Udin terdiam sejenak. Muka datuk direnungnya lama-lama.

“Malam klinik dah tutup.”

“Sepatutnya, kau tak payah minta penawar dari aku, jumpa daktor lagi baik, sebabnya mereka boleh memeriksa anak kau, mana tahu anak kau ada mengidap penyakit,”

“Saya tahu, tapi….” Udin berhenti bercakap. Ada rasa kecewa dan putus asa bermain di wajahnya.

“Baiklah, bolehlah aku buatkan penawar, tapi esok kau bawalah anak kau ke klinik,” kata datuk lagi. Datuk pun segera membuat air penawar dan diberikan pada Udin. Sebelum Udin meninggalkan rumah, lagi sekali datuk memgingatkan Udin supaya membawa anaknya menemui doktor. Datuk berpendapat berubat dengan doktor lebih baik dari berubat dengan dukun, kerana dengan peralatan moden, sakit seseorang dapat dikesan dengan cepat.

Pesan datuk itu tidak dipersiakan oleh Udin. Dia terus membawa anaknya menemui doktor dan menerima rawatan dengan baik. Sejak itu anaknya tidak lagi menangis malam. Memang, begitulah sikap datuk, dia lebih suka mengalakkan orang-orang kampung berubat dengan doktor, kecuali kalau sudah menemui doktor pesakit tidak mahu baik, barulah dia menyuruh berubat cara kampung.

“Mari ikut aku ke rumah Anjang Dollah,” kata datuk pada saya.

Pemintaan datuk itu tidak dapat saya tolak. Dengan rasa kecewa saya meninggalkan kumpulan kawan-kawan saya yang sedang bermain galah panjang di depan rumah datuk.

“Apa halnya,” tanya saya

“Sajalah,aku dengar cerita Anjang Dollah tu handal mengubat orang kena sampuk, anu nak tengok cara dia mengubatnya. Kalau boleh aku nak belajar darinya.”

“Belajar buat apa ?” balas saya. Datuk tersenyum dan terus berkata : “Belajar untuk tahu apa salahnya, tidak merugikan kita.”

Setelah mendengar cakapnya itu. Saya pun tidak mengeluarkan sebarang soalan atau pertanyaan. Berjalanlah saya dengan datuk petang itu menuju ke Kampung Gelung Gajah yang jaraknya lebih kurang tiga batu dari kampung datuk. Terpaksa meredah dua tiga anak sungai. Dan rumah Anjang Dollah letaknya agak terpencil dari rumah-rumah di situ. Berada di pinggir sebuah kolam dan berhadapan dengan sebuah belukar kecil.

Lebih kurang pukul empat petang, sampailah saya dan datuk ke rumah Anjang Dollah. Kami dipersilakan naik. Datuk terus menyatakan, bahawa kedatangannya ialah untuk melihat bagaimana cara dia mengubati orang yang kena sampuk.

“Apa salahnya, ” balas Anjang Dollah dengan senyum bangga. Anjang Dollah pun mempersilakan saya dan datuk masuk ke dalam sebuah bilik kecil. Di dalam bilik itu penuh dengan barang-barang perubatan seperti kemenyan hantu, buah limau, buah kelapa dan tempat membakar kemenyan. Di tepi bilik terdapat sebuah katil dengan tilam dan bantal bersarung kain hitam. Bantal dan tilam itu sudah buruk benar. Bila saya menghampirinya hidung saya tidak tertahan mencium bau hapak dari bantal dan tilam.

Bila saya mahu membuka kain tilam yang menutup katil itu saya ditahan oleh Anjang Dollah. “Jangan,” suara Anjang Dollah keras. Saya duduk kembali. Hati saya ingin tahu, siapakah gerangan yang tidur di situ. Saya yakin ada orang yang tidur di atas katil itu, kerana bila saya perhatikan kain hitam itu bagaikan bergerak-gerak mengikuti tarikan nafas manusia.

“Siapa yang baring tu,” datuk pula bertanya. Anjang Dollah merenung muka datuk. Saya mula resah tidak menentu.

“Sahabat saya, orang suruhan saya. Boleh disuruh keluar waktu malam dan balik pagi.” Anjang Dollah memperjelaskan pada datuk. Saya dan datuk pun angguk kepala.

“Dia tidur agaknya,” tanya saya lagi.

“Dia tak tidur,” sahut Anjang Dollah.

“Kalau tak tidur kenapa tak bangunkan.” Tingkah datuk.

“Dia malu tengok orang.” Itulah jawapan Anjang Dollah. Jawapan itu sebenarnya tidak memuaskan hati saya. Dan saya mahu bertanya lagi. Bila saya mahu membuka ulut, datuk segera mencuit bahu saya. Fahamlah saya, bahawa datuk tidak mahu saya menyoal lebih lanjut tentang apa yang berada di atas katil.

Anjang Dollah meninggalkan kami di dalam bilik. Ada orang datang ke rumahnya. Sepeninggalan Anjang Dollah itu, bulu roma saya mula berdiri. Rasa takut datang dalam hati saya. Kalaulah tidak ada datuk di samping pasti tempat itu saya tinggalkan. Anjang Dollah datang. Dia minta kami duduk di ruang tengah. Di ruang tengah itu terdapat sorang perempuan muda. Duduk bersila di atas lantai. Perempuan muda itu datang ke rumah Anjang Dollah kerana mahu meminta tolong mengubati adiknya yang menjerit dan meraung tidak tentu arah macam orang gila.

“Adik saya kena buatan orang Pak Anjang,” kata perempuan itu dengan muka agak muram. “Dia terpaksa diikat dengan tali di tiang rumah,” tambah perempuan itu lagi. Anjang Dollah mengigit bibir dan terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Tanpa bercakap sepatah, Anjang Dollah terus ke dapur. Datang semula keruang tengah dengan mangkok putih yang penuh berair.

“Mari masuk ke dalam bilik saya, ” Anjang Dollah menjemput peremmpuan , datuk dan saya. Kami pun masuk ke dalam biliknya. Anjang Dollah bersila, di depan katil. Matanya merenung air dalam mangkok putih sambil mulutnya membaca sesuatu. Entah apa yang dibacanya saya pun tidak tahu. Dia menoleh ke belakang merenung perempun muda seraya berkata, “Kau balik dulu.”

Bila perempuan itu sampai dekat muka pintu. Anjang Dollah memanggilny akembali dan menyuruh perempuan itu duduk di depannya. Perempuan itu akur dengan perintahnya itu. Anjang Dollah terus membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit Anjang Dollah berbuat begitu. Mukanya bertukar menjadi hitam. Matanya jadi hijau berkilai. Separuh anggota badannya mengeletar, macam orang kesejukan. Lama juga Anjang Dollah jadi begitu. Hati saya Tuhan saja yang tahu betapa takutnya saya ketika itu. Bila wajahnya berubah dalam keadaan biasa. Barulah Anjang Dollah bersuara, tapi suaranya bertukar menjadi parau.

“Siapa nama adik kau,” tanya Anjang Dollah pada perempuan itu.

“Aishah.”

“Berapa umurnya?”

“Sembilan belas tahun.”

“Siapa nama emaknya.”

“Hamidah.”

Selesai sahaja Anjang Dollah menyoal dan menerima jawapan dari perempuan itu. Dia segera bangun dan terus rapat ke katil. Berdiri di situ agak lama juga sambil tangan kanannya memegang pangkal dagunya.

“Hai sahabatku yang setia, pergilah engkau ke tempat asalmu, ambillah sehelai rambut perempuan mati beranak,” kata Anjang Dollah. Kain hitam mula bergerak. Datuk duduk dengan tenang. Saya merasakan mahu buang air kecil, terasa mahu buang air besar. Saya jadi serba salah. Rasa mahu buang kecil dan air besar itu hilang juga, bila saya terfikir kalau masa buang air kecil atau buang air besar kain hitam itu akan datang pada saya. Buruk padanya.

“Pergilah sahabatku,” ualng AnjangDollah. Dengan tiba-tiba kain hitam terjatuh atas lantai. Apa yang saya lihat di atas katil ialah bantal dan tilam bergerak sendiri. Tilam bagaikan digulong oleh orang.

“Dia sudah pergi,” kata Anjang Dollah pada datuk. Datuk pun mengangguk kepalanya. Anjang Dollah pun mengambil kain hitam dan terus memberikan pada perempuan muda itu.
“Kau rimbaskan kain hitam ke muka adikmu tujuh senja, lepas tu kalau tak juga mahu hilang, kau datang ke mari lagi,” kata Anjang Dollah. Dan perempuan itu pun menghulurkan wang pada Anjang Dollah. Dengan tenang perempuan itu meninggalkan rumah Anjang Dollah.

“Ini baru sedikit sahaja, minggu depan kalau kalian datang, kalian boleh lihat cara lain saya mengubat, saya boleh kenalkan awak berdua dengan sahabat saya itu,” megah benar Anjang Dollah.

“Saya datang lagi,” sahut datuk.

“Datanglah, tapi kena datang malam tau,”

“Baiklah.”

Datuk memberikan janji. Sesungguhnya janji yang diberikan oleh datuk pada Anjang Dollah satu penyiksaan pada diri saya. Bila masa yang dijanjikan sampai. Berangkatlah saya dengan datuk menuju ke rumah Anjang Dollah. Kami terpaksa menggunakan andang yang dibuat dari daun kelapa untuk menyuluh jalan. Malam cukup gelap. Tidak ada sebiji biuntang pun di langit. Sepanjang perjalanan telinga kami diasak dengan suara katak dan suara burung jampok dan burung hantu. Bulu roma saya tegak berdiri, bila terdengar suara lolongan anjing sayup-sayup dari gigi kampung.
Reade more >>

5. Berjaga di Hujung Jambatan

5. Berjaga di Hujung Jambatan

Datuk amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua, datuk akan marah.

“Aku bukan tukang cerita,” katanya. Dan ada orang yang tidak percaya dengan apa yang terjadi pada diri datuk. Malah, ada yang mengatakan datuk cuma mengadakan cerita itu untuk tujuan bersuka-suka pada sebelah petang, bila datuk tidak berburu. Datuk tidak marah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kawan-kawan pada dirinya. Cukup mudah bagi datuk menjawab cabaran itu dengan berkata :

“Mari ikut aku atau biar aku hantarkan kalian ke tempat tersebut dan kalian lihat nanti, apa yang akan terjadi.” Anehnya, tidak ada seorang pun dari kalangan kawan-kawan datuk yang mahu menjawab cabaran itu. Akhirnya, cerita datuk bertemu dengan perempuan cantik dan bermalam di rumahnya, merupakan satu lagenda yang jadi buah mulut orang-orang setempat. Sekarang, cerita itu tidak lagi diperkatakan oleh orang.

Dua bulan berselang sesudah peristiwa itu., datuk telah diserang penyakit, seluruh badannya sakit dan bengkak-bengkak. Anak cucu membawa datuk ke klinik kerajaan dan swasta, tapi sakit datuk tidak juga mahu hilang. Bila anak cucu mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Rumah Sakit Lumut atau Batu Gajah, bagi mendapatkan rawatan yang sempurna, datuk membantah dengan alasan, dia tidak suka duduk di hospital. Tidak ada seorang cucu datuk yang berani memaksa datuk untuk tinggal di hospital. Jadi datuk terpaksa dirawat secara kampung. Semua dukun dan bomoh yang terkenal dipanggil untuk merawatnya. Sakit nya tidak juga mahu hilang.
Seorang dukun dari Mambang di awan dekat Kampar mengatakan sakit datuk sukar diubat, kecuali oleh pawang yang benar-benar handal.

“Kenapa tok bomoh ?” seorang cucu datuk bertannya.

“Sakitnya dibawa oleh orang atas,” jawabnya pendek.

“Siapa orang atas tu tok bomoh,” desak cucu datuk. Dan bomoh itu tidak mahu memberikan jawapannya. Begitulah datuk, ia terus terlantar di tempat tidur menanggung sakit. Walaupun sakit terlentang merenung atap rumah, datuk masih mahu bercakap, kalau ada kawan-kawannya yang datang melawat. Kadang-kadang datuk memaksa dirinya untuk duduk. Bila anak cucu mahu datang membantunya. Dia segera melarang dan menepis tangan anak cucunya.

“Aku masih kuat lagi,” katanya. Dengan itu semua anak cucu pun menyepi. Pada sutu malam, semua anak cucu datuk berkumpul dan mengambil keputusan untuk memanggil dukun orang asli yang tinggal dekat Grik. Entah macammana rancangan itu sampai ke pengetahuan datuk. Dia jadi berang dan membuang semua benda yang berhampiran dengannya. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Kemudian datuk terus dipujuk untuk menerima rawatan doktor swasta yang sanggup datang ke rumah untuk merawatnya.

Memang di luar dugaan, anak cucu , datuk setuju dengan rancangan itu. Menurut doktor itu, sakit datuk tidaklah berapa serius sangat, tapi dia memerlukan rawatan yang agak lama. Sesudah menerima suntikkan dan memakan pil yang diberikan oleh doktor itu, datuk pun boleh bangun dan berjalan dari ruang tengah ke anjung ruamh. Mukanya nampak berseri. Tidak pucat lagi. Datuk mula boleh makan nasi. Sebulan, sesudah menerima rawatan dari doktor swasta ternyata datuk beransur sihat, tapi pada satu malam, datuk terus rebah sesudah menunaikan sembahyang Isyak.
Dia tidak boleh bercakap. Terpaksa diusung ke tempat tidur. Semua anak cucunya mengerumuninya. Semua anak cucu yang mengerumuninya resah, bilik tidur datuk dikuasai oleh bau-bauan yang wangi, diganti pula dengan bau kemayan. Serentak dengan itu datuk mula terbatuk dua tiga kali. Dia terus duduk.

“Carikan aku tiga biji limau, tiga gelai daun sireh putus urat, seulas pinang, kemenyan dan tempat membakarnya,” ujar datuk tenang.

“Nak buat apa,” tingkah nenek.

“Usah banyak soal, sediakan perkara yang aku mahu itu sekarang,” datuk membeliakkan matanya. Semua keperluan itu disediakan. Diletakkan dalam dulang tembaga berlapikkankain kuning. Bila barang-barang itu tersedia, bau harum datang kembali menguasai bilik tidur datuk. Duduklah datuk mengadap dulang tembaga, asap kemenyan pun keluar dari dupa, bagaikan ada kuasa ghaib yang menaburkan serbuk kemenyan di dalam dupa.

“Duduklah,” datuk bersuara sambil merenung ke tepi dinding. Anak cucu merenung ke tepi dinding. Tidak ada siapa pun yang bediri di situ. Kemudian anak cucu datuk melihat buah limau tiga biji bergerak-kerak bagaikan ada tangan yang menyentuh.

“Kalian keluarlah, ada pawang nak mengubat aku,” datuk memberi perintah. Semua anak cucu keluar. Datuk mengunci pintu biliknya dari dalam. Tapi, bau kemenyan terus juga lepas keluar.
“Dah berapa lama sakit ini, kenapa tak beritahu,” anak cucu datuk terdengar suara orang perempuan bercakap di dalam bilik. Semua hati anak cucu berdebar dan cuba mengintai dari celah pintu . Tidak ada orang lain dalam bilik selain dari datuk sahaja yang terlentang dekat dulang tembaga, sesekali datuk bergerak, bagaikan ada tangan yang sedang mengurut badannya. Sesekali datuk melipatkan kaki kanannya menandakan dia tidak mahu kaki kanannya diurut.

“Berapa lama sakit ni,” terdengar lagi suara perempuan.

“Dah dekat tiga bulan,” sahut datuk

“Patutlah lama tak ke rumah.”

“Sibuk.”

“Apa asalnya , ada jatuh atau ada tersalah makan.”

“Salah makan tu tak ada, tapi jatuh jatuh memang ada,saya jatuh dekat perigi buta.”

“Patutlah, kalau jatuh cepat berurut atau berubat, kalau tak diubat inilah jadinya.

“Itu salah saya,” datuk mengaku.

Suasana dalam bilik datuk sunyi, cuma yang kedengaran hanyalah bunyi orang mengambil sesuatu serta bunyi orang mengoyakkan daun sireh.

“Amalkan apa yang saya buat, tapi ingat kalau dah sihat jangan lupakan tempat saya,”terdengar lagi suara perempuan. Beberapa saat kemudian, datuk memebuka pintu bilik , bau wnagi masuk ke ruang rumah. Lepas itu datuk memebuka pintu depan. Datuk berdiri di muka pintu.

“Selamat jalan,” kata datuk pada malam yang samar-samar itu. Datuk melambaikan tangannya. Entah pada siapa datuk melambaikaikan tangan. Tidak seorang pun anak cucunya yang tahu. Perkara itu berlanjutan hingga tiga malam. Masuk malam keempat datuk mengadakan kenduri kesyukuran. Datuk sudah pulih. Datuk sudah boleh berjalan dan memandu kereta buruknya . Datuk sudah pun mengucapkan ribuan terima kasih pada doktor swasta yang datang merawatnya. Dan anak cucunya bertambah pening. Antara doktor dan dukun siapakah yang sebenarnya merawat datuk hingga sembuh. Lalu anak cucu datuk membuat kesimpulan begini : Masa kuat sakitnya doktor yang mengurangkannya dan dukun itu cuma mendapat rahmat dari doktor sahaja.
Seminggu kemudian, datuk ghaib dari rumah dan anak cucu tidak merasa apa-apa atas kehilangannya itu, semuanya tahu, bahawa datuk pergi ke rumah isteri orang bunian. Dan datuk akan kembali ke pangkuan nenek sesudah tinggal dengan isterinya orang bunian itu selama tiga empat hari. Nenek tidak pula merasa cemburu. Apa yang nenek fikirkan ialah tentang kebahagiaan diri datuk. Biarlah datuk buat apa sahaja. Asalkan datuk gembira dan boleh panjang umur. Cukup mulia hati nenek.

Macam selalu, bila datuk pulang dari rumahnya di kampung bunian, datuk akan membawa seekor dua ayam hutan dan buah labu atau mentimun untuk nenek dan anak cucunya.

“Siapa yang merawat dalam bilik dulu,” tanya nenek pada suatu petang. Datuk tersenyum mendengar pertanyaan itu.

“Isteri muda kitalah.”

“Siapa ?”

“Orang bunian.”

“Hum, lagi apa katanya pada awak.”

“Tidak ada apa-apa, cuma dia berpesat satu sahaja, kalau ada apa kesusahan pada keluarga kita, segera beritahu padanya.” Jawapan yang diberikat itu cukup menyenangkan nenek.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, datuk terlibat dalam pengambilan ahli-ahli pengawal kampung untuk menentang pihak komunis yang sentiasa mengancam keselamatan penduduk kampung. Datuk telah dipilih untuk menjadi anggota AP. Kerana itu datuk kena menjaga kampung pada setiap malam secara gergilir-gilir dengan orang-orang kampung yang lain. Kerana datuk dianggap penduduk yang tertua di kampung itu dan tahu pula serba sedikit ilmu dunia, datuk telah dipilih untuk menjadi ketua.

Kadang-kadang datuk dipanggil juga oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke hutan untuk mengempar sarang komunis. Ini bukanlah beban yang berat baginya. Datuk mernerimanya dengan rasa senang hati. Satu keistimewaan datuk, ialah dia cukup kurang tidur tapi badannya tetap sihat. Wajahnya tidak cengkung atau pucat. Satu malam telah diarahkan pasukan keselamatan untuk membawa anak buahnya menjaga kawasan kampung yang bersempadan dengan jalanraya yang merintangi sebuah anak sungai. Datuk pecahkan anak buahnya kepada dua pasukan, setiap pasukan dianggotai oleh lima orang. Satu pasukan ditugaskan peronda tapi sungai mengala ke utara. Sedangkan datuk dengan kawan-kawan menguasai sebelah selatan hingga sampai ke jabatan besi. Datuk memilih pangkal jambatan besi itu sebagai tempat ia mengatur sebarang gerakan.

Malam itu datuk bertugas dengan tenang di atas jambatan besi. Sesekali malam yang sepi itu dipecahkan oleh bunyi jentera lori pasukkan keselamatan yang melintas di atas jambatan besi.
“Kau berdua pergi ke hujung sama, dan kau berdua pergi berjaga dekat pokok besar,” datuk memerintahkan anak buahnya.

“Di sini, siapa nak tunggu, tanya Hamid, salah seorang dari anak buahnya. Datuk tidak menjawab pertanyaan itu dengancepat. Dia termenung berfikir.

“Di sini, biar aku tunggu,” katanya. Anak buahnya yang sudah diperintah mengikut arahan yang ditetapkan. Malam bertambah sejuk. Datuk mengigil kesejukan. Dua tiga kali dia menguap. Badannya disandarkan pada besi jambatan. Tiba-tiba datuk terkejut, seekor ular berbelang kuning dan hitam meniti atas palang besi jambatan menuju ke arahnya. Lebih kurang satu ela mahu sampai padanya , ular itu berhenti. Panggung kepala. Menjulurkan lidah. Mata ular itu nampak merah. Dari mulut ular itu terpancar sesuatu macam api. Bila ular itu mengkatupkan mulutnya. Api itu padam dan api itu akan wujud kembali, bila ular itu membuka mulutnya.
Reade more >>

4. Kereta Datuk Tersadai Di Tepi Jalan

4. Kereta Datuk Tersadai Di Tepi Jalan

Sudah seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk tetap sibuk dengan anak cucu yang datang berhari raya ke rumahnya, pada malam 27 likur yang lalu, datuk turut sama memasang lampu di haalman rumah dengan anak cucu. Datuk membelikan mereka untuk anak cucu. Datuk membelikan mercun untuk anak cucunya. Sesungguhnya, datuk amat menyayangi semua anak cucunya memang menjadi kebiasaan dalam hidup datuk, pada Hari Raya pertama ia akan mungumpulkan anak cucunya di anjung rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian akan mengepalai anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya.

Lepas itu, datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menziarahi kubur nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek pada anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu. Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri. Tidak ada siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyurkan supaya kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara :

“Usah bimbang, ia akan balik dalam sehari dua ini.”

“Dia berhari raya ke rumah yang lagi satu.” Jawapan nenek itu, menghilangkan keraguan anak cucu.

Nenek pun menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk tidak pergi turun memburu, ia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian, bersama isteri barunya, setiap kali datuk pulang, ia membawa buah tangan untuk nenek yang dibekalkan oleh orang bunian. Sebagai isteri yang setia, nenek tidak pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan disoaljawab nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku pertengkaran, kalau sudah bertengkar nanti mudah masam muka. Kalau ini terjadi tentulah tidak elok. Malu pada anak menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan anak menantu ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek. Ia merasa bersyukur pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu sudah cukup, bagi nenek kalau ai kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada gunanya, satu hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas kehendak Allah yang maha besar.

Barang kali esok atau lusa ia akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini melainkan Allah yang maha bijaksana. Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu ia tetap bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk. Akhirnya anak cucu datuk yang berkumpul di rumah terpaksa meninggalkan rumah datuk kerana urusan diri masing-masing. Ada yang sudah bekerja sendiri dan tidak kurang pula yang makan gaji. Kereta yang bersusun di depan rumah datuk, sebuah demi sebuah meninggalkan halaman rumah datuk, pulang ke tempat masing-masing. Nenek berpeluk-peluk dengan anak cucu sambil mendoakan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan. Nenek berharap pada Hari Raya tahun depan anak cucu akan kembali ke kampung.

Cuma yang nenek terkilan hanya satu sahaja, iaitu semasa kereta anak cucunya bergerak, datuktidak dapat melambaikan tangan. Datuk tidak dapat memeluk anak cucu dengan penuh mesra. Mengingatkan ini semua nenek jadi sayu, perasaannya cukup hiba.

“Sampaikan salam pada datuk,” kata Ahmad Zaki cucu datuk yang kedua belas. Matanya merenung muka nenek.

“Boleh, jangan bimbang,” nenek memberikan perngakuan. Ahmad Zaki yang lewat sekali meninggalkan rumah datuk. Ia bertugas sebagai guru mengajar di Sekolah Menengah Dr Burhanuddin di Taiping. Bila semua anak cucu sudah pergi, nenek kembali dengan kerjanya membelah pokok sireh di belakang rumah, melihat ayam yang bertelur di reban serta memetik kacang panjang. Kalau diikut kata hati, nenek mahu sahaja mengikut salah seorang dari anak cucunya. Duduk sama mereka. Tidak guna kalau dudu rumah sendiri sedangkan suami selalu sahaja meninggalkannya.

Bila nenek mengkaji semula hal ini dengan sedalam-dalamnya. Ia tidak rela meninggalkan datuk. Ia mengira semua yang terjadi atas dirinya adalah atas kehendak Tuhan yang maha bersar. Sudah tiga jam anak cucunya pergi, tapi telinga nenek masih dapat mendengar suara anak cucu, bagaikan terbayang tingkah kalu anak cucu di depan matanya. Nenek tidak tahu pukul berapa anak cucunya pergi meninggalkannya yang pasti masa anak cucunya pergi tadi matahari baru naik segalah, tapi sekarang matahari sudahpun berada di pucuk kelapa.

Nenek masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja ia membasuh dan memotong kacang panjang. Ia terdengar bunyi suara kereta masuk. Nenek menerpa ke muka pintu. Ia melihat Muhammad Hakim keluar dari kereta.

“Kenapa ada barang tinggal ?” Tanya nenek.

“Tak ada apa nek, kereta Ramlah berlangar dekat pekan pusing. Nenek diam. Ia tahu cucunya itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bharu. Ramlah bertugas sebagai pegawai kastam.

“Apa yang mesti kita buat ?” Nenek menyoal. Mohammad Hakim suruh nenek masuk ke dalam keretanya untuk pergi ke Batu Gajah. Pada jiran sebelah telah ditinggalkan pesan, bila datuk balik suruh dia pergi ke Hospital Batu Gajah. Jiran yang baik hati itu berjanji mahu menyampaikan amanat itu.

Bagaikan digerakkan oleh sesuatu, datuk yang sudah lama tinggal dengan isteri mudanya di kampung bunian, teringat mahu balik. Isteri mudanya tidak menahan. Datuk pun balik. Datuk sampai ke rumah waktu maghrib, dia tidak bertanya pada jiran tentang nenek yang tidak ada di rumah. Selepas sembahyang, seorang jiran datang menemuinya dan menyampaikan berita yang dipesan. Datuk menerima pesanan itu dengan tenang.

“Terima kasih, aku ingat lepas sembahyang Isyak aku nak pergi,” kata datuk pada jiran yang menyampaikan pesan. Apa yang dicakapkan oleh datuk, di kotakannya, lepas sembahyang Isyak datuk pun mengidupkan injin keretanya, kemudian datuk matikan injin kereta itu, datuk buka bonet kereta untuk memastikan ia membawa barang keperluan, kalau tayar keretanya bocor di tengah jalan. Datuk periksa injin kereta,. Ia yakin keadaan keretanya cukup baik dan selamat untuk perjalanan jauh.

Masa datuk meninggalkan rumah, keadaan langit agak mendung, tidak ada bintang mengerdip, tiada bulan sabit di kaki langit. Datuk terus memandu kereta Ford Anglianya dengan tenang membelah kegelapan malam. Kereta datuk sudahpun melintasi Kampung Buruk Bakul dan Simpang Tiga, bila masuk ke dalam kawasan Kampung Buluh Aur, hujan mula turun dengan lebatnya,agak sukar juga datuk memandu dalam malam hujan lebat. Ia terpaksa melarikan keretanya dengan perlahan sekali. Sesekali datuk terbabas ke tepi jalan. Bila selisih dengan lori balak atau lori ikan datuk terpaksa memberhentikan keretanya.

Datuk sudahpun melalui Jambatan Nordin di Tanjung Belanja, sekarang datuk sudah memasuki Pekan Parit hujan tidak juga beransur reda, walau apa yang terjadi datuk tetap mahu meneruskan perjalannya ke Hospital Batu Gajah, datuk meninggalkan Pekan Parit, datuk menggigil kesejukan, sampai di satu selekoh kereta datuk berhenti dengan tiba-tiba, Ia cuba menghidupkan injinnya, usahanya itu tidak berjaya. Dalam hujan yang lebat itu datuk keluarkan dari perut kereta. Datuk membuka bahagian depan dengan lampu oicit di tangan ia meraba semua wayar yang terdapat pada injin kereta. Badannya sudah basah. Ia menggigil.

Datuk ingin menghidupkan kereta. Tidak berjaya. Datuk membunyikan hon, tidak bersuara. Datuk masih juga tenang. Walaupun ia tahu, ia sekarang berada di tempat sunyi di kiri kanannya penuh dengan hutan tebal. Kilat mula bermaharajalela. Dari cahaya kilat itu datuk dapat memastikan bahawa diri nya berada tidak jauh dari Bukit Berapti. Setiap kali cahaya kilat memancar ia dapat melihat Bukit Berapit yang tertegun berdiri di kiri kanan jalan.

Hujan terus turun. Jalanraya sudah penuh dengan air melimpah-limpah, datuk melihat jam di tangan, sudah hampir pukul dua belas malam. Tidak ada sebuah kereta yang melintas di situ. Datuk tetap menggigil dalam perut kereta Ford Anglia, Tiba-tiba datuk melihat ada cahaya api dari sebelah kanan jalan. Ia mempastikan cahaya lampu itu datangnya dari sebuah rumah.

Datuk ambil golok, lalu diselitkan ke pinggang . Kemudian ia memutuskan untuk pergi ke rumah yang ada cahaya lampu itu. Datuk menguncikan semua pintu kereta. Datuk menyeberang jalan dalam hujan yang begitu lebat. Datuk masuk ke dalam satu lorong menuju ke rumah tersebut. Sampai sahaja di kawasan rumah itu, kilat pun memancar, datuk dapat melihat rumah itu, ialah sebuah rumah batu beringkat dua, di halamannya penuh dengan pokok-pokok bunga yang sudah basah dengan air hujan.

Datuk masuk ke bawah rumah lalu mengetuk pintu berulang-ulang kali. Tidak ada jawapan. Datuk ketuk lagi. Pintu pun terkuak, seorang perempuan muda berdiri sambil di tangannya tertatang sebuah pelita minyak tanah.

“Saya mahu tumpang berteduh,” kata datuk.

“Begitu, masuklah ke dalam.”

“Tak payah, biarlah di luar sahaja.”

“Jangan begitu masuklah.” Pelawa perempuan itu mendesak juga datuk supaya masuk ke dalam rumah. Akhirnya datuk masuk. Ia disuruh duduk di ruang tamu. Perempuan yang baik hati itu memberikan datuk kain pelikat dan baju Melayu. Datuk terus memakainya. Perempuan itu juga memberikan datuk secawan kopi panas habis dihirup, datuk terasa badannya cukup segar.
“Tinggal seorang saja,” tanya datuk. Perempuan muda yang berambut panjang itu tersenyum, lampu minyak tanah terlintuk liok ke kiri dan kanan ditiup angin malam.

“Emak dan ayah saya pergi ke Bagan Serai, tengok orang sakit.”

“Suami ?”

“Saya belum bersuami, dulu bertunang dengan askar, tapi tunang saya mati ditembak komunis di Sungai Siput.”

“Kalau begitu, tidak manis saya berada di rumah anak dara, malam begini,”

“Apa salahnya, kita tidak berbuat jahat, awak datang dengan kereta awak rosak, dan saya berkewajipan menolongnya, masa ini masa awak, nanti ada masanya saya memerlukan pertolongan dari awak.”

“Awak perempuan yang baik hati,”

“Usahlah terlalu memuji,” tingkah perempuan muda.

Di luar ruamh hujan terus menggila, petir dan kilat juga menunjukkan gagah. Angin yang bertiup kencang menghasilkan bunyi suara daun yang berlaga sama sendiri, sesekali terdengar bunyi dahan pokok yang sekah. Datuk terdengar bunyi lolongan anjing sayup-sayup di luar bersama bunyi suara kucing berkelahi. Dari arah dapur datuk terdengar bunyi pinggan dan piring berlaga, serentak dengan itu datuk terdengar bunyi suara perempuan mengilai. Datuk tidak menyoal apa yang didengarnya pada perempuan muda itu. Ia tetap tenang. Tentulah tidak wajar sekali bertemu di rumah orang yang baik budi bahasa mahu menyoal hal peribadi. Itu biadab namanya. Datuk tidak mahu, perempuan muda menuduh dia biadab.

Malam itu, perempuan muda yang cantik, berbibir nipis, berdahi luas memberitahu datuk, bahawa dia dan orang tuanya berasal dari Pulau Pinang dan berbangsa Cina. Masa zaman pemerintahan Jepun mereka tinggal di Batu Gajah dan mereka sekeluarga terus memeluk agama Islam. Bila Jepun kalah, mereka pindah ke Seputih dan membeli rumah dan tanah yang mereka duduki sekarang ini.

Dengan penjelasan itu, datuk senang hati. Kemudian perempuan muda itu memberikan datuk sebuah bilik yang lengkap dengan katil dan meja serta almari.

“Bilik untuk awak tidur di sini,” ujar perempuan muda itu, datuk melihat sebatang lilin yang dimamah api tersedia di atas meja.

“Usah bimbang, esok saya suruh orang baiki kereta awak,” tambah perempuan cantik itu, “kereta awak dan awak selamat di sini.”

“Terima kasih.” Perempuan muda itu merapatkan daun pintu bilik. Datuk terdengar perempuan muda itu mengunci bilik dari luar. Datuk tersenyum, dan terfikir bahawa perempuan muda itu berbuat begitu adalah untuk kebaikan dirinya, ia bimbang datuk akan keluar mencarinya di tengah malam lalu merogolnya. Datuk menggelengkan kepala.

“Aku tidak sejahat itu,” kata datuk dalam hati. Ia rebahkan badan atas katil. Bila datuk mahu merapatkan kedua belah kelopak matanya, ia terdengar bermacam-macam bunyi di luar, ada bunyi orang berjalan, ada suara orang menangis. Datuk tidak mengiraukannya barangkali itu cuma perasaannya sahaja. Akhirnya, datuk terlelap, ia bermimpi ada orang kepala anjing datang padanya lalu mahu membaham pangkal pehanya. Datuk melawan dengan sekuat hati. Dalam perlawanan itu , datuk tewas pada orang berkepala anjing itu terus mengoyak daging peha datuk. Darah bertaburan dalam bilik. Datuk menjerit dengan sekuat hati. Datuk pun terjaga.

Datuk terkejut, kerana hari sudah cerah, matahari mula bersinar dan masuk ke dalam ruang bilik. Datuk mengerutkan dahi, kerana ia mendapati dirinya cuma tidur di atas simen di sebuah bilik yang kotor dan buruk. Tidak ada katil. Tidak ada meja. Cuma yang ada hanya tunggul kayu dan batang pisang. Datuk keluar. Datuk menarik nafas panjang. Rumah yang malam tadi, indah ternyata sebuah rumah buruk yang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi.

Di halaman rumah penuh dengan hutan keduduk, serunai laut, pemandangan kekitar rumah itu ama meyeramkan. Datuk mencari perempuan muda yang melayannya semala. Tidak napak batang hidung. Datuk pergi ke ruang tengah. Ia melihat satu cawan sumbing yang kotor. Di dalamnya ada air hitam yang busuk. Ada dua tiga ekor bangkai cicak yang kembung perutnya terdapat dalam cawan itu.

Datuk mengucapkan panjang. Ia ingat malam tadi ia minum di situ. Ia yakin air itu sudah masuk ke dalam perutnya.

“Syaitan, aku dipermainkan oleh syaitan,” bisik batin datuk. Ia pun meninggalkan kawasan rumah itu menuju ke jalanraya. Datuk cuba menghidupkan injin keretanya. Suara kereta mengaum. Datuk cuba memandu dua tiga rantai ke depan. Keretanya tidak mengalami sebarang kecelakaan. Datuk terus menuju Hospital Batu Gajah. Ia kecewa. Ramlah yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sudah meninggal dunia. Jenazahnya telah dibawa ke kampung malam itu juga. Datuk menceritakan kisah yang dialaminya pada seorang pekerja di Hospital Batu Gajah.

“Begini pak cik, rumah tu rumah tinggal anak dara tuanpunya rumah itu menggantung diri di ruang tengah rumah tu,” beritahu pekerja itu pada datuk.

“Sebab ?”

“Dia kecewa, kerana tunangnya berkahwin dengan orang lain.”

“Begitu ?” suara datuk lembut.
Reade more >>